Tuesday, July 23, 2013

Motosikal yang lapar


    Hujan renyai di luar. Aku sarung baju hujan reput yang terperuk dalam raga motosikal. Motosikal dua lejang aku bergerak semput. Enjin tak panas barangkali.

Aku memang tak pernah panaskan enjin motosikal. Jangan kata panaskan enjin motor, free gear sebelum matikan enjin pun aku tak pernah buat. Aku tak pernah basuh motor aku. Cukup tahun aku tukar cover set.

Dialah motosikal yang selalu berjasa pada aku. Selalu buat masalah.


    Setiba di tempat kerja aku masuk tanpa memberi salam. Ofis tiga tingkat, aku seorang saja yang kerja disitu. Sebenarnya ada lagi seorang, kerani. Tetapi dalam sebulan dua puluh lima hari dia "MC" dan tiga hari "Emergency leave". Aku kira dia sebagai angka kosong.

Aku tak bekerja seperti biasa kerana hari-hari kerja aku lain walaupun aku di tempat kerja yang sama. Perkataan bekerja seperti biasa langsung tak ada dalam kamus aku. Kalau hendak dibandingkan resume aku dengan malaikat, err..

   Salah satu benda yang sama setiap hari di ofis, aku buka laci paling bawah capai roti gardenia coklat. Aku belah dua dan simpan semua separuh kedalam laci. Aku buat kerja sampai waktu rehat, aku tak pernah berhenti walaupun hanya aku seorang dalam ofis. Tiba waktu rehat aku habiskan roti gardenia coklat pagi tadi. Duit dalam poket aku buat beli suria sebatang.

Boleh tahan sampai malam karang.

  Jam sudah pukul 5.30 petang. Aku siap-siap untuk balik. Aku tak matikan komputer, walaupun aku balik, aku mahu komputer aku tetap bekerja. Perjalanan pulang ke rumah lebih kurang sepuluh kilometer tetapi tak sampai separuh jalan enjin motor aku mati dan jelas sekali bukan masalah karburetor. Minyak habis, aku tolak tanpa mengeluh atau rasa apa-apa yang menyedihkan. Aku tak kisah tolak motor tapi aku akan rasa tersentuh bila ada yang berhenti tanya "Kenapa bang? Motor Rosak ke?".

"Kenapa bang? Minyak habis ke?" Seorang mamat bermotosikal perlahankan motor nya sebelah aku yang sedang basah bermandi peluh.

"A'ah, time macam ni pulak boleh habis minyak". Aku balas sambil berhenti tolak motor.

 "Takpe la bang, nak buat macam mana. Saya boleh tunda sampai petronas kat depan tu."

Aku tak menolak pelawaan mulia mamat tu. Angin sejuk makin menenangkan dan mengeringkan peluh aku. Aku bersyukur ada orang semulia mamat ni. Tak perlu lagi aku susah payah tolak motor. Setiba di Petronas aku mengucapkan terima kasih sambil bersalaman. Dia berlalu laju dengan motosikal empat lejang nya. Aku perhatikan dia sehingga dia hilang dari pandangan.


Aku sambung tolak motor aku sampai ke rumah. Dalam poket aku hanya ada dua puluh sen.

No comments: