Sunday, July 21, 2013

Alam Pahlawan

    Sabtu seperti biasa bila mak aku kejut sembahyang subuh. Bunyi katak, cengkerik, belalang, harimau, kucing datang dari semua arah bilik. Seperti biasa.

Apa yang luar biasa hari ini, aku mandi awal pagi dan yang paling penting dompet aku berisi enam ringgit malaysia. Dengan berbekalkan enam ringgit, aku akan ke bandar secepat mungkin mencari erti kehidupan.

    Berjalan dengan gaya Ji-fat, aku meluru ke perhentian bas kampung aku. Bas biasa datang berputar setiap satu jam jadi aku tak perlukan jam untuk menganggar masa bas berhenti. Aku cuma perlu tunggu lima puluh sembilan minit jika bas terlepas seminit sebelum aku sampai.

Hampir dua puluh minit aku tunggu di perhentian bas yang baru dicat oleh ahli belia 4B kampung aku, jangan kata pemandu bas, bumbung bas pun belum ada bayang. Dengan gaya Ji-Kao, aku hilangkan stress dengan memanipulasikan diri aku menjadi dewa monyet. 

Pokok jambu batu rendang sebelah perhentian bas tak pernah kecewakan aku. Sedap macam biasa, cuma kadang-kadang tergigit ulat buah.

Benda sedap, makhluk apa yang tak suka.

Baru enam gigit helang tunggangan aku sampai. Aku bersandar dan standby seringgit dua puluh sen. Lagi satu jam aku pasti sampai ke destinasi iaitu banjaran roh guguran.

Bandar Kuantan.

    Bandar, apa lagi yang aku boleh harapkan selain dari bau asap bas. Sebagai budak sekolah rendah aku berbangga ke bandar berseorangan sebab esok aku boleh bercerita tentang bagaimana aku bertemu ifrit utama dan menghapuskannya dengan teknik alam semesta. 

Kalau ikut akal yang pendek mahu saja aku tersengih kegembiraan tanpa pedulikan orang lain kerana aku dah tak jauh dengan erti kehidupan aku. 

"Uncle, Dunhill sebatang." Aku hulur duit kertas rm1 dan dipulangkan balik dengan syiling.

Aku suka uncle mamak ni. Dia tak pernah buat muka atau halang aku beli rokok dekat dia. Aku pandang sekeliling sambil tangan mencapai lighter berikat getah. Aku cucuh rokok dengan gaya orang berpengalaman dan sorokkan di belakang jari-jemari terus meluru ke belakang tandas.

Bukan. Ini bukan erti kehidupan yang boleh membuatkan aku mandi pagi. Nikotin yang masuk kedalam darah melalui alveoli dan terus naik ke otak membuatkan aku tersenyum dan kembali ke kedai mamak tadi untuk mencari erti sebenar kehidupan. 

Pelbagai tajuk, bermacam jenis. Tapi dari rumah aku dah tau apa yang aku mahu.

ALAM PERWIRA!

Aku capai isu baru, aku keluarkan dua ringgit lima puluh sen beri pada uncle.

    Misi aku sudah selesai. Aku naik bas yang tertera nama kampung aku. Enjin bas masih belum dihidupkan. Aku selak sehelai demi sehelai. Rasa kagum, rasa gembira, rasa pahlawan, dan ada satu rasa yang agak baru yang mana aku sendiri tidak pasti. Enjin bas dihidupkan sejurus aku membaca perkataan "bersambung". Aku gulung komik peluk erat dan tidur.

Sampai di rumah aku bergegas masuk bilik dan mengunci pintu. Aku tersenyum atas katil. Dalam diam sebelum pemandu bas menghidupkan enjin bas di bandar tadi, aku telah menghafal muka surat enam yang mana mukasurat membuatkan aku mempunyai rasa yang agak baru. Ji-fat dan biduanda layang tanpa pakaian.

Benda sedap, makhluk apa yang tak suka.

No comments: