Saturday, July 27, 2013

Magician


    Aku berlari ke bengkel besi untuk membeli sebilah pedang. Dalam keadaan perut kosong aku perlu membuat sesuatu yang mengembirakan hati. Perjalanan aku untuk menguasai elemen ais masih jauh. Apatah lagi untuk merealisasikan teknik petir seperti pahlawan lain. Dengan menggunakan pedang jelas nyata aku sedang mencari pengalaman untuk meneruskan perjalanan aku menjadi seorang ahli magis yang menentang kejahatan.

Ditangan aku mempunyai sebatang kayu hikmat. Aku tak perlukan lagi pedang, malah aku tak perlu datang dekat untuk menyerang musuh. Cukup mengayunkan kayu hikmat dan sedikit jampi serapah pada mulut. Seperti biasa rakan seperjuangan yang selalu disisi akan bergerak dan sentiasa berjuang bersama walaupun pada zahirnya kami saling cemburu jika salah salah seorang lebih hebat dan bergaya.

Sedang kami berhempas pulas dengan balrog ada suara datang dari belakang.

"Jom pergi makan malam!" budak rumah aku yang turun dari tangga mengajak aku makan dengan nada serius.

"AFK! AFK!" isyarat aku pada rakan seperjuangan menandakan aku ada masalah lebih besar dari Balrog.

Aku tanggal headphone dari kepala sambil pandang ke arah budak rumah aku.

"Pergi dulu, aku dah makan tadi" jawab aku sambil membetulkan semula posisi headphone.

Mereka berlalu pergi sambil menggelengkan kepala.

"Balrog Slayer back online!" aku memberi isyarat pada pejuang

"Bila masa yang kau pergi makan? Dari pagi tadi kau tak berhenti berlawan." salah seorang rakan seperjuangan aku bertanya.

"Aku tak boleh makan lagi ni. Malam ni aku nak makan kari kepala Balrog."

Aku cuba berdalih untuk kali kedua. Antara penyebab kenapa aku menjadi pahlawan  sampai tak makan seharian bukan kerana aku mahu jadi pahlawan sejati tetapi aku mahu lupakan yang aku sedang lapar. Dalam dompet aku ada RM 1.20 sahaja, hanya cukup untuk air biasa-biasa.

Sedang kusyuk menumpaskan Balrog aku terima SMS dari rakan tempat kerja.

' Gaji dah masuk '

"Sorry geng, aku kena keluar. Ada hal!" Pantas aku keluarkan kata-kata terakhir.

"Hoi!! Balrog tak mati lagi ni!" Pahlawan-pahlawan kental mula bising.

Aku tanggal headphone letak atas keyboard dan sempat membalas teriakan mereka.


"Korang makan la kepala Balrog tu! Aku nak pergi makan nasi ayam!"


No comments: